Sabtu, 11 September 2010

Berkampung & Beraya di Padang Serai

SEJAK 5o tahun yang lalu aku tidak pernah beraya di luar, aku hanya beraya di kampungku bersama ibu dan keluarga aku yang lain. Ini kerana aku diperanakan, dibesarkan malah bekerja hanya di sekitar daerah kelahiranku. Cuma ada satu masa ketika masih muda belia aku bekerja sebagai pernah bekerja sebagai Pegawai Penjara di Alor Setar tapi hanya bertahan selama 3 bulan kerana tak sanggup meninggalkan ibuku yang hidup sendirian.

Aku cukup simpati dengan ibuku, sejak aku mula mengenal dunia aku melihat dengan mata kepala aku sendiri bagaimana dia bertungkus lumus bekerja untuk membesar dan menyekolahkan aku sambil di bantu oleh abangku. Ayahku yang berkahwin empat dan pernah satu masa ada tiga orang isteri. Ibuku adalah isteri pertama dan tidak pernah diceraikan sehingga ayahku menghembuskan nafasnya yang terakhir di Kuala Lumpur, ketika aku berusia 22 tahun. Ayahku banyak menghabiskan masanya di rumah isteri-isteri muda yang lain dan hanya akan balik dua atau tiga bulan sekali.
Jesteru itu aku aku cuba membina kerjaya hanya di sekitar daerah kelahiranku. Sekali aku pernah mendapat tawaran untuk bekerja sebagai wartawan bacaria tetapi akau terpaksa tinggal di Kuala Lumpur, tawaran itu juga aku tolak. Tawaran itu dibuat oleh Pengarang Bacaria waktu itu Mazlan Manan atau nama penanya Mazlanmir. Tawaran itu aku terima kerana aku begitu aktif menulis untuk bacaria selepas dilantik sebagai wakil bacaria di Pulau Pinang.

Aku terus menghuni daerah kelahiranku sehinggalah ibuku menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bulan Disember 2008. Aku cuba bertahan untuk terus tinggal di situ tetapi kerana terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan, akhirnya aku membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang memang lama dah aku beli di Taman Mahsuri, Padang Serai. Rumah itu hanya terbiar kosong sejak aku membelinya. Aku pernah mengajak ibuku untuk berpindah ke rumah yang aku beli tapi dia menolak.

Akhirnya pada 14hb. Mac lalu selepas ibuku pergi buat selama-lamanya setahun tiga bulan aku dan keluarga mengambil keputusan untuk berpindah. Kami sekeluarga berazam untuk menjadikan Taman Mahsuri, Padang Serai sebagai perkampungan baru kami. Ini kerana rumah pusaka peninggalan ibuku aku dah serahkan kepada abangku yang tua, jadi aku sudah tak punya rumah selain rumahku yang ini. Abangku sudah membaik pulih rumah itu tapi sampai sekarang dia tak balik untuk tinggal di situ dan dia terus menetap di Seberang Jaya.
Hari Raya Aidil Fitri tahun ini kelmarin iaitu pada 10 September 2010 adalah hari raya pertama aku dan kelurga beraya di luar kampung kelahiranku. Hari Raya tahun ini juga pertama kali aku merayakan di Taman Mahsuri Padang Serai. Pada mulanya agak sedih juga kerana pada malam raya hanya tinggal tiga keluarga termasuk keluarga aku di blok tempat tinggalku yang masih terus berkampung di situ. Aku difahamkan mereka juga akan berangkat balik kampung pada pagi hari raya.

Pada paginya kesedihan haatiku memuncak apabila melihat blok yang aku tinggal semuanya kosong. Apabila sampai waktu untuk mengerjakan solat Aidilfitri aku dan anak melangkah ke surau Taman Mahsuri. Ketika inilah hatiku kembali ceria kerana terdapat lebih kurang 500 jemaah yang hadir. Ini bermakna masih ramai yang terus berkampung di Taman Mahsuri.
Sekembalinya dari solat raya suasana masih lagi hambar tiada siapa yang hadir ke rumahku. Aku tinggalkan anak-anak dan isteri di rumah kerana untuk hadir di rumah terbuka YB. Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir, bekas bos dalam UMNO dan bos tempat kerjaku ketika aku bertugs sebagai Pegawai Perhubungan Awam di syarikat beliau. Aku juga akan singgah beraya di rumah bos aku sekarang iaitu Datuk Abu Bakar Abdullah. Datuk Abu Bakar Abdullah ini tinggal dan menjalankan perniagaannya di Kuala Lumpur. Aku dilantik melakukan tugas-tugas khas beliau di Pulau Pinang. Kami berurusan melalui telefon dan e-mel saja, Cuma sekali sekala dia balik kami berjumpa.

Ketika aku keluar barulah kawan-kawan anakku dan satu keluarga aku yang datang. Aku pula ketika di rumah Datuk Musa bertemu dengan ramai kawan-kawan lama ketika aku aktif dalam UMNO dulu baik dari Bukit Mertajam mahupun luar Bukit Mertajam. Paling menarik aku dapat berjumpa kawan aku yang lama sungguh aku tak jumpa iaitu Datuk Rozabil Abdul Rahman atau nama panggilannya Ben. Beliau kini adalah Bendahari Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Perlis. Beliau adalah adik Rozaid Abdul Rahman kini Pengarang Bersekutu Mstar Online. Rozaid adalah bos ketika aku aku bertugas sebagai ‘stringer’ dengan Utusan Malaysia. Rozaid ketika itu adalah Ketua Biro Utusan di Pulau Pinang.Kami sempat bersembang dan bertukar-tukar cerita disamping bergambar.
Balik dari majlis itu aku singgah sebentar di rumah bos aku di Bukit Mertajam. Walaupun masih dalam suasana raya banyak topik perbualan kami mengenai tugasan yang diberikan kepadaku. Aku tak kisah kerana kami memang jarang berjumpa dan tujuan aku ke rumah terbuka Datuk Musa juga adalah sebahagian daripada tugasku untuk membina rangkaian dan mendapatkan info politik kerana aku adalah penulis bebas. Sebagai penulis bebas aku perlu mendekati tidak kira samada pemimpin UMNO, PAS, PKR mahupun lain-lain parti.

Memang ada ramai kawan-kawan aku yang bertanya aku terus atau melalui kawan-kawan yang rapat denganku, apa fahaman politik aku. Pada kesempatan ini aku nak jelaskan pendirian aku, aku akan menyokong siapa saja yang aku rasa boleh menjaga, membela kepentingan agama dan bangsa ku. Kalau UMNO mampu melakukannya pastinya aku akan menyokong. Sekiranya PAS atau PKR juga mampu aku juga bersedia menyokongnya.

Tapi akhir-akhir ini aku sendiri agak pening. UMNO aku lihat dah lari terlalu jauh daripada dasar penubuhannya untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan ketuanan melayu di bumi malaysia. Dalam soal ini PAS juga agak longgar malah PKR seperti yang kita semua tahu adalah parti berbilang kaum maka pergantungan untuk membela kepentingan agama dan bangsa agak terbatas. Dalam keadaan ini bukan saja aku malah ramai lagi orang melayu yang tidak tahu kepada siapa sebenarnya pergantungan harapan untuk membela dan mempertahankan agenda agama dan bangsa harus diharapkan.