Selasa, 14 Januari 2014

HAJAT YANG TAK SAMPAI

SEBENTAR tadi selepas habis kerja mengadap laptop, dalam keletihan saya merenung meja tulis . Saya melihat susunan kertas dan buku rujukan yang saya gunakan, tiba-tiba saya terpandang buku “SEJARAH PERJUANGAN MELAYU” tulisan Ibrahim Mahmood, buku setebal 1011 mukasurat. Dah lama saya tak pegang buku itu kerana dah lama saya tak menulis bab politik khususnya yang berkiatan dengan perjuangan melayu.

Buku ini menjadi bahan rujukan penting saya ketika saya menjadi Pengarang/Pengurus Penerbitan Buletin UMNO Pulau Pinang yang di namakan “SUARA MUTIARA” , Buletin Pemuda UMNO Pulau Pinang “MINDA PEMUDA” dan buletin UMNO Bkit Mertajam “BULETIN BUKIT”. Buku ini juga menjadi rujukan saya ketika saya menulis article politik untuk akhbar mingguan politik seperti Era Baru, Mingguan Kota, Buletin Demokrasi, Buletin Utama, Ekslusif dan Majalah Editor Suria Janib dan lain-lain lagi.

Apabila terpandang buku itu saya ambil dan renung buku itu tanpa saya sedari airmata mengalir keluar dari kelopak mata saya. Saya terkilan hajat untuk bertemu dan memberikan anugerah besar kepada beliau tidak kesampaian.

Setelah saya membelinya terus daripada penerbit buku itu di Kuala Lumpur. Saya membaca, beliau telah menulis banyak mengenai perjuangan melayu, saya kagum. Beliau bukan saja penulis buku itu malah diantara mereka yang menandatangani Piagam Penubuhan UMNO di Kongres Melayu kedua di Istana Besar Johor pada 11 dan 12 Mei 1946. Ketika itu beliau mewakili Kesatuan Melayu Pulau Pinang.

Saya photostad cacatan mengenai pengarang buku ini dan berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ketika itu menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganugerahkan Datuk kepada beliau. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bersetuju dan meminta saya mencari dan memberitahu kepada beliau.

Berdasarkan maklumat buku itu beliau orang Tanjong Tokong dan ketika itu orang-orang di Tanjong Tokong dipindahkan, sebahagian besar telah pindah. Saya lalu ke Tanjong Tokong dan mencari pemimpin lama UMNO. Mereka membawa saya berjumpa dengan seorang pemimpin veteran Wanita UMNO di situ, saya dah lupa namanya. Saya berbual dan bertanyakan samada dia kenal atau tidak Ibrahim Mahmood. Alhamdulillah kebetulan dia kenal . Dia memberitahu saya yang Ibrahim Mahmood telah berpindah ke Telok Bahang, saya tanya alamat tapi dia tidak tahu. Dia minta saya bertanyakan orang Telok Bahang kawasan pertempatan orang-orang Tanjong Tokong yang di pindahkan.

Alhamdulillah walaupun susah dan payah, akhirnya saya berjumpa rumahnya tapi malang beliau tidak ada di rumah. Saya tidak beritahu tujuan saya kerana saya mahu dialah orang yang pertama tahu perkara ini, saya tinggalkan nombor telefon saya untuk dihubungi. Kebetulan rumah mereka belum ada telefon kerana petempatan baru talian telefon belum di sediakan.

Setelah menunggu agak lama beliau tidak menghubungi saya, lalu saya pergi sekali lagi pergi ke rumah beliau, perkara yang sama juga berlaku, beliau tidak ada di rumah. Menurut anaknya beliau sering berkunjung rumah anak-anaknya yang lain. Saya ulangi dua tiga kali, hajat saya tak kesampaian untuk bertemu dengan beliau.

Suatu hari ketika saya membuka akhbar harian terpandang berita yang mengatakan beliau meninggal dunia. Saya melihat gambar ramai pemimpin UMNO Pulau Pinang yang hadir termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketka itu menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO serta Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Menitis airmata saya, hajat saya untuk bertemu dan berbual dengan beliau dan memberikan anugerah Datuk tidak kesampaian. Lalu saya menghubungi Datuk Seri Dr.Ibrahim Saad bertanyakan macam mana dia boleh tahu yang Ibrahim Mahmood dah meninggal dan kenapa tak beritahu saya.

Dia memberitahu ada orang yang memberitahu beliau suruh beritahu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Dr. Ibrahim juga memberitahu yang dia pun tidak tahu dan tidak pernah berjumpa dengan Ibrahim Mahmood. Menurut Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, dia ingat saya tahu kerana dia memberikan tugasan untuk bertemu dengan beliau.


Ketika saya menulis cerita ini air mata saya terus mengalir keluar membasahi pipi
kedut saya. Saya teramat kecewa gagal berjumpa orang yang sehebat beliau. Saya juga sedih tak sempat memberikan anugerah Datuk yang memang telah dipersetujui oleh Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Isnin, 23 Disember 2013

PENGGAMBARAN TELEMOVIE

Karya seterusnya dari saya "Pertemuan Di Kaki Gunung Jerai"  telah memulakan pergambaran di Gunung Jerai dan Changloon pada 21-12-2013 hingga 22-12-2013. Pergambaran seterusnya  di Taman Mutiara, Simpang Empat, Taman Bunga Raya, Pejabar Perumahan Aseania Bukit Mertajam, Safira Country Club dan beberapa tempat lain sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya.






Selasa, 17 Disember 2013

SCREEN TEST DI SEBERANG JAYA

Baru-baru ini pengarah Drama Khalid Sulaiman  telah berjaya mengadakan ‘screen test’ untuk memilih pelakon tempatan untuk telemovie “PERTEMUAN DI KAKI GUNUNG JERAI”  hasil karya saya.
Kepada pelakon tempatan yang berjaya di pilih membintangi drama ini diucapkan tahniah dan bagi yang gagal bukan kerana tidak berbakat tetapi tidak mempunyai watak yang sesuai untuk diberi.

Antara yang berjaya ialah :-
1.       Aida Othman  membawa watak Khaty (juga Producer dalam penerbitan drama ini)
2.       Sharifah Jauriah yang akan memegang watak Mak Timah
3.       Nizam akan membawa watak Razak
4.       Omara membawa watak Pak Leh
5.       Ali membawa watak Datuk Yahya
6.       Mid Gulai Kawah akan membawa watak Pegawai Penyiasat Polis
7.       Rina membawa watak Fifi
8.       Azimah Abu Hahan akan memegang watak Nani
9.       Tina Hamzah akan membawa watak Sherry
Dan ada lagi beberapa watak yang saya tak ingat nama mereka.



Pergambaran drama ini akan bermula pada 21hb yang akan dibuat di Kedah di sekitar kawasan Gunung Jerai  dan akan disambung di sekitar Seberang Perai khususnya Bukit Mertajam dan Seberang Jaya.






Rabu, 27 November 2013

DUNIA KREATIF

PERTEMUAN ORANG KREATIF DENGAN ORANG BISNES

SAUTU masa sahabat saya seorang Pengarah drama, Khalid Suliaman Fdam telah memberitahu saya mengenai satu projek penerbitan kawannya. Namun projek itu tersangkut kerana beberapa masalah pendaftaran. Ketika itu saya ingat, saya pun boleh ‘create’ projek seumpama itu melalui kawan-kawan yang saya ada.

Bagi merealisaikan impian ini saya telah memberitahu tiga orang kawan saya yang saya rasa mampu membantu saya merealisasikan impian ini. Tapi mereka tidak memberikan tindakan yang positif. Saya terus beruseha.

Akhirnya  salah seorang kawan, Saad Nordin telah  memberitahu saya yang kawannya seorang tokoh perniagaan terkenal di daerah saya tinggal sekarang dah ada syarikat dan lesen mengenai penerbitan. Dan
perkara-perkara yang berkiatan. Masalahnya dia sibuk dengan dunia bisnes terasnya  dan dia tidak tahu mengenai dunia perniagaan dibidang ini.

Lalu saya meminta kawan saya Saad Nordin memperkenalkan saya kepada kawan dia itu. Sautu hari Saad Nordin telah mengatur pertemuan saya dengan tokoh perniagaan terkenal di Padang Serai, Ku Rashidi. Ku Rashidi telah memberitahu apa yang dia ada dan dia tidak begitu mengetahui selok belok perniagaan ini dan tidak ada masa.

Saya memberitahu Ku Rashidi kita boleh bergabung, Ku Rashidi ‘create’ peluang  yang kami beritahu dan keluar modal maka saya dengan kawan-kawan saya akan realisaikan peluang itu menjadi duit. Saya ada seorang pengarah yang baik dan kerja buat dia amat saya senangi dan boleh diharap.

Ku Rashidi bersetuju,  lalu saya membuat panggilan telefon kepada Pengarah drama kawan saya itu. Khalid memberitahu saya pada hujung bulan November ini dia balik ‘Penang’ menghadiri kenduri rumah bapa mentuanya serta mengadakan perbincangan dan ‘screen test’pelakon local untuk sebuah drama saya, “PERTEMUAN DI KAKI GUNUNG JERAI” dan masa itulah dia hendak bertemu dengan Ku Rashidi.
Alhamdulillah pagi tadi saya telah membawa beliau bertemu dengan Ku Rashidi di Gerai Pokok Cenerai yang terkenal dengan sup tulang di kawasan ini. Kami berbincang dan kesimpulan perbincangan itu saya diminta oleh Khlaid untuk membuat proposal dan dia akan membantu saya bab itu sebelum kita mengatur pertemuan dengan stesen TV.

Turut serta dalam pertemuan itu Sukri Shawal yang senaja saya panggil kerana Khalid adalah gurunya semasa dia menyertai bengkel pergambaran di Finas. Sayang sekali Saad Nordin tidak dapat bersama lama kerana hari ini anaknya menlangsungkan perkahwinan.

Alhamdulillah perancangan saya berjalan lancer walaupun tidak sepenunya macam saya kehendaki tapi ini membuka laluan untuk saya pergi jauh dalam bidang penerbitan drama dan program TV. Saya yakin semua ini,  berkat  keikhlasan  dalam perhubungan dan persahabatan yang kita lalui. Juga berkat bersabar menghadapi kerenah manusia yang pelbagai terhadap kita, sebelum ini. Maka Allah mempermudahkan perjalan hidup kita.


Alhamdulillah.

Jumaat, 11 Oktober 2013

PERTEMUAN PEMBIKINAN DRAMA

Sedang menunggu untuk masuk 'Production Meeting' dengan Pegawai Bahagian Drama TVi di RTM baru-baru ini. Bersama saya Producer muda Aida Othman, Pengarah Drama Khalid Sulaiman fdam, dan sahabat saya Omara seorang pengiat Boria di Pulau Pinang yang bakal bertindak selalu Local Production Manager.

Tajuk drama ini "PERTEMUAN DI KAKI GUNUNG JERAI" dan pergambarannya bakal di buat di Pulau Pinang dan sekitar Gunung Jerai. Pergambaran dijangka dibuat pada bulan November atau Disember ini.


Selepas "Production Meeting" dengan pegawai TVi kami mengadakan "Production House Meeting" di kantin RTM yang mana turut serta Phang Yau Nazri yang akan bertindak selaku Production Manager dan turut serta Pelakon Shaharudin Thamby yang kebetulan ada di situ yang bakal membawa watak Datuk Seri Khairudin.


Ahad, 14 Julai 2013

Jumaat, 4 Februari 2011



Sebagai manusia lebih-lebih lagi kita yang beragama Islam, Allah melarang kita untuk merasa kecewa dengan segala kegagalan yang pernah kita alami. Disebalik kegagalan yang bertali arus itu pasti ada rahmat yang tidak disedari. Allah menyuruh kita untuk terus beruseha disamping berdoa kerana tidak tertolak qada dan qadar melainkan dengan doa.

Kita pernah dengar terdapat banyak manusia berjaya tetapi telah mengalami berkali-kali kegagalan dalam hidup sebelum mereka mencapai segala apa yang mereka cita-citakan. Misalnya Abraham Lincoln gagal berkali-kali dalam cubaannya untuk menjadi Presiden Amerika tapi akhirnya beliau Berjaya menjadi Presiden Amerika yang ke-16 pada tahun 1861. Malah banyak lagi tokoh-tokoh yang Berjaya mengalami nasib yang seumpama itu.

Dalam artikel ini saya ingin menceritakan kisah kegagalan dan kejayaan yang dilalui oleh bintang filem, penulis skrip dan pengarah Rambo yang cukup terkenal, iaitu Stallone. Kita semua kenal beliau ketika beliau barada di puncak kejayaan dan merupakan salah seorang pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood. Dia menerima sehingga 20 juta dolar Amerika bagi sebuah filem. Adakah Stallone bernasib baik? Adakah dia seorang pelakon yang mempunyai bakat semula jadi? Adakah dia berada di tempat yang betul pada masa yang tepat? Tidak sama sekali!



Stallone berasal dari sebuah keluarga yang daif. Ibunya melahirkannya di tangga sebuah sekolah dan kelahirannya di-bantu oleh para pelajar sekolah itupada 6 July 1946. Pada saat kelahirannya, saraf mukanya cedera dan bahagian kanan wajahnya menjadi lumpuh.



Akibatnya Stallone tidak mampu bertutur dengan jelas. Sewaktu dia kanak-kanak, ramai kanak-kanak lain mengejeknya kerana kekurangannya ini. Lebih malan lagi namanya Sylvester sama dengan nama satu karakter kartun Looney Tunes. Tanpa menghiraukan semua kelemahannya, Stallone berazam hendak menjadi pelakon terkenal. Dia ingin memberikan inspirasi kepada orang lain melalui filem.



Seperti yang anda tahu, ramai remaja mempunyai impian menjadi bintang filem tetapi bagi kebanyakan daripada mereka, ia hanyalah angan-angan. Namun, Stallone menjadikan impian-nya suatu kemestian. Dia komited bagi melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya. Langkah pertamanya adalah mendaftar di sebuah sekolah lakonan.



Kemudian, dia menghadiri sesi uji bakat. Dengan pertuturannya yang kurang jelas, wajahnya yang tidak menarik, ditambah pula dengan lakonan yang kaku, tidak ada pihak yang mahu mengambilnya sebagai pelakon. Semua kegagalan itu tidak menyebabkan Stallone berputus asa. Dia sentiasa mengubah strateginya dan terus bertindak.



Bagaimana akhirnya Stallone berjaya mendapatkan peluang pertama menjadi pelakon? Apabila sekali lagi dia ditolak dalam suatu uji bakat, dia terus duduk dalam bilik pengurus dan enggan pulang selagi dia tidak mendapat peluang berlakon. Selepas berjam-jam dia duduk di situ, orang-orang yang berada di situ mula kasihan kepadanya. Mereka juga kagum dengan semangatnya yang tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya, dia mendapat peluang melakonkan watak kecil. Bagi Stallone, lakonan itu begitu bermakna.



Malangnya selepas itu, dia terus gagal mendapatkan sebarang peluang sehingga isterinya menyuruhnya melupakan sahaja impiannya itu dan mula mencari pekerjaan lain. Tetapi, Stallone masih ingin memperjuangkan impiannya. Dia tidak rela berputus asa. Stallone jatuh miskin sehingga pada suatu hari dia terpaksa menjual anjing kesayangannya dengan harga 50 dolar. Dia begitu sedih kerana selama ini anjingnya itulah yang menjadi sahabat karibnya.



Tidak lama selepas itu, Stallone menonton perlawanan tinju di antara Muhammad Ali dengan Chuck Wepner. Ramai orang berkata Chuck pasti menyerah kalah selepas beberapa pusingan sahaja. Tetapi, Chuck bertahan sehingga 15 pusingan dan memberikan tentangan hebat kepada Ali.



Daripada perlawanan tinju itu, Stallone mendapat inspirasi dan dia ingin membuat sebuah filem mengenai ahli tinju. Dia mula menulis skrip filem tanpa henti selama 84 jam. Filem ini diberi tajuk Rocky iaitu nama watak utamanya. Stallone berasa teruja kerana dia yakin filem ini bakal mengubah hidupnya.



Selepas skrip itu selesai, dia berusaha menjualnya tetapi tiada siapa yang berminat dengan skrip itu. Para penerbit filem menganggap tidak ada sesiapa yang mahu menonton filem mengenai ahli tinju. Stallone tidak berputus asa. Dia terus berjumpa pihak pengeluar filem sehingga akhirnya ada sebuah syarikat yang bersetuju membeli skrip itu dengan harga 75 ribu dolar. Stallone sepatutnya gembira tetapi impiannya belum tercapai. Dia ingin menjadi pelakon dan bukan penulis skrip.

Dengan demikian, dia memberikan syarat kepada syarikat filem itu. Dia bersetuju menjual skripnya kepada mereka asalkan dia menjadi pelakon utamanya. Pada mulanya mereka tidak bersetuju dan berkata, “Anda seorang penulis skrip, bukannya seorang pelakon! Tidak mungkin kami bersetuju dengan syarat anda itu.”



Mereka menaikkan tawaran kepada 255 ribu dolar dan seterusnya kepada 1 juta dolar tetapi Stallone tetap berkeras dengan pendiriannya. Sungguhpun pada waktu itu, dia miskin dan sering kelaparan, dia masih komited pada impiannya! Akhirnya, syarikat filem itu mengalah tetapi kali ini mereka pula yang meletakkan syarat. Mereka hanya membayar sebanyak 35 ribu dolar pada Stallone bagi skrip dan juga lakonannya. Selain itu, Stallone juga bakal menerima royalti daripada keuntungan filem itu. Stallone bersetuju.



Perkara pertama yang dilakukan selepas itu adalah mencari semula orang yang membeli anjingnya. Stallone menawarkan 100 dolar pada orang itu bagi membeli semula anjingnya tetapi orang itu menolak. Stallone menaikkan harga tawaran sehingga 1,000 dolar dan orang itu tetap menolak. Sekali lagi, Stallone tidak berputus asa. Dengan apa cara sekali pun, dia mahukan anjingnya semula. Akhirnya, orang itu bersetuju apabila Stallone menawarkan 15 ribu dolar dan juga peluang berlakon dalam filemnya.



Apabila filem Rocky ditayangkan, ia mencapai tahap box-office dengan keuntungan melebihi 171 juta dolar. Bukan hanya itu, ia juga dicalonkan dalam 10 kategori Anugerah Akademi termasuklah pelakon terbaik. Daripada 10 pencalonan itu, Rocky memenangi anugerah filem terbaik dan arahan terbaik.



Stallone terus mencipta nama sebagai pelakon aksi yang hebat dan dia menerima banyak tawaran yang lumayan selepas itu.



Stallone mencapai impiannya kerana ia menjadikannya suatu kemestian. Dengan ini, dia tidak berputus asa mencari jalan bagi mencapainya.

Saya yakin cerita ini mampu membakar semangat kita untuk terus berjuang bagi merealisasikan impian dan harapan kita walaupun terpaksa menempuh kegagalan demi kegagalan dalam hidup. Jesteru itu kita perlu bangun dari tidur dan beruseha keras untuk mencapai apa yang kita cita-citakan selama ini. Ingat! Perancangan tanpa disertai dengan usaha yang gigih tidak akan mampu membawa kita untuk mengecapi kejayaan hidup yang kita impikan. Ingat juga! Perancangan yang kita buat hendaklah realistic dan mampu kita usahakan. Dan akhir sekali, jangan kita lupa untuk berdoa, kerana segala ketentuan hidup kita telah Allah tentukan sejak azali akan berubah sekiranya kita berdoa kepada Allah Azzawajala.