Ahad, 4 September 2022

KEMELUT KEHIDUPAN

 Hidup kita di dunia ini bagaikan roda dan roda kehidupan itu selalu berputar bagaikan roda kereta. Ini kata-kata orang dulu dan di zaman ini kita boleh katakan bagaikan roller coaster.Kadang –kadang kita akan berada di atas, kadang-kadang  di bawah.


Jadi berdasarkan andaian tadi kita mesti sedar dalam kita menjalani  kehidupan ini, kita pasti tidak terlepas menghadapi banyak masalah dan ujian. Terkadang kita merasa masalah itu begitu berat bagaikan tidak ada jalan keluar.

Hakikatnya sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada menghadapi  kemelut kehidupan seumpama ini. Jangan ingat kita orang susah dan miskin saja yang terpaksa menghadapi kemelut dalam kehidupan.

Harus diingat siapa saja tidak akan terlepas daripada kemelut dalam kehidupan. Kalau kita susah masalah hidup yang terpaksa di hadapi  cara kita orang susah.

Kalau kita orang senang dan kaya, kita juga tidak dapat lari daripada menghadapi masalah dalam kehidupan. Cuma masalah cara orang senang atau kaya.

Adat kata semua orang terpaksa melalui pelbagai kemelut dalam kehidupan. Kadang-kadang kita merasakan sesaorang itu bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang senang dan kaya.




Mungkin bertuahnya mereka  yang dilahirkan dalam keluarga yang senang lagi kaya itu semasa kedua ibu dan bapa mereka  masih  ada. Apabila kedua orang tua mereka   tidak ada dan mereka   tidak tahu bagaimana merancang  dalam menjalani kehidupan maka mereka akan menjual satu demi satu harta peninggalan  kedua ibu bapa mereka.

Apabila habis semua harta itu dijual maka akan muncullah zaman susah mereka. Malah kesusahan mereka akan lebih susah daripada kita yang memang dilahirkan dalam keluarga orang susah.

Apa yang diperkatakan itu bukan hanya cerita penyedap hati orang susah. Kita dapat lihat orang yang berada dikeliling kita yang senang dahulu dan susah kemudian.

Jesteru itu jangganlah kita berputus asa dan kecewa dengan apa yang kita terpaksa lalui itu. Semuanya telah termaktub di loh mahfuz sejak azali lagi.

Namun memang kita tidak tahu ketentuan Allah kepada kita. Hanya setelah sesuatu itu berlaku maka itulah ketentuan Allah kepada kita.

Jadi kita berdoalah sebanyak mugkin agar kerana tidak tertolak qada dan qadar Allah melainkan dengan doa.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : “Tidak tertolak Qadha’ itu melainkan oleh do’a dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Ingat! Allah tidak akan memberikan kita kemelut dalam kehidupan diluar kemampuan kita menghadapinya.

Firman Allah SWT alam Surah Al Baqarah, ayat 286 yang maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”

Harus kita ingat dalam setiap masalah atau kemelut kehidupan yang terpaksa kita lalui itu pasti tersedia jalan keluarnya.


MY YOUTUBE CHANNEL :PERIGI MENCARI TIMBA



Tiada ulasan: