Isnin, 29 Disember 2008

HADIR KURSUS

BENGKEL PEMBINAAN MANUSKRIP NOVEL WILAYAH UTARA
SUDAH terlalu lama aku tak menulis kreatif. Aku mula menulis kreatif dengan menghasilkan cerpen dan sesekali sajak ketika aku mula-mula belajar menulis daripada allahyarham Drs. Darwis Harahap seorang tutor bahasa di usm. Selepas itu aku menemui Ustaz Azizi Hj. Abdullah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tunjok ajar daripadanya. Semua ini berlaku dalam tahun 1985, lebih 23 tahun yang lalu.
Selepas itu aku begitu giat menulis khususnya cerpen dan rencana-rencana sastera. Cerpen aku telah tersiar dalam pelbagai media dan aku juga telah berjaya memenangi beberapa hadiah cerpen yang kecil misalnya pertandingan anjuran Majlis Kebudayaan negeri Pulau Pinang, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dan akhbar Varia Pop Group.

















D ATUK ANUAR RIDUAN SEDANG MENYAMPAIKAN KERTAS KERJANYA KEPADA PERSERTA. AGAK MENARIK BANYAK YANG BOLEH AKU PELAJARI

Selepas terlibat dalam dunia penulisan kreatif lebih kurang 4 tahun aku mula belajar menulis berita dan rencana umum dan kemudiannya dilantik oleh BACARIA untuk menjadi wakil mereka di Pulau Pinang. Selepas beberapa tahun aku menyertai Utusan Malaysia tapi aku tidak lama di sini kerana mereka menugaskan aku untuk mendapatkan berita jenayah di balai polis yang langsung tidak menarik minat dan perhatianku. Lepas itu aku menyertai Harian Watan tapi sayang hayatnya tidak lama.

















GAMBAR PEMANDANGAN YANG MENARIK YANG AKU AMBIL DI TINGKAT 4 BAYVIEW BEACH RESORT & HOTEL BATU FERINGGI
Sejak itu aku begitu giat menulis berita dan rencana. Aku juga mula berjinak-jinak menulis rencana politik untuk pelbagai penerbitan akhbar tabliot seperti Mingguan Kota, Era baru dan seterusnya Editor Suria Janib dan Eksklusif . Akhirnya aku diberi peluang oleh Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad untuk menerbitkan buletin UMNO Pulau Pinang di zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang. Aku juga menerbitkan Buletin Bukit bagi pihak UMNO Bukit Mertajam yang diketuai sendiri oleh Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Sejak itu aku terus melupakan dunia penulisan kreatif hanya sesekali saja aku menulis cerpen, itu pun setelah diminta berkali-kali oleh kawan-kawan misalnya apabila guru menulis Azizi Hj. Abdullah menjadi editor akhbar Utusan Pengguna dan ada menyediakan ruangan cerpen. Aku juga mula menulis novel dan kini telah siap dan telah diminta oleh seorang penerbit tapi aku cuba menangguhkan kerana novel ini mempunyai idea yang baik dan perlukan penerbit besar untuk menerbitkannya.
Manuskrip itu terus terperam di otak komputer dan sesekali aku membaca dan membetulkan apa yang perlu. Tapi entah macam mana satu hari aku berada di bandar Perda Bukit Mertajam dan menerima panggilan daripada teman penulis Ahmad J. Husien. Bila beliau mengetahui aku berada di di situ beliau telah meminta aku ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengambil Jendela Utara.


















TUKYA ATAU AZIZI HJ ABDULLAH SEDANG DISERBU OLEH PESERTA BENGKEL. MEREKA HENDAK MEMBELI BUKU-BUKU TULISANNYA.
Aku terus ke Dewan Bahasa dan Pustaka dan ketika aku bertanyakan pertugas Dewama syarikat yang menjual buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika itu Editor DBP Wilayah Utara Puan Syahida Ahmad berada di situ dan memang aku tidak kenal kerana aku telah lama tidak melibatkan dalam dunia penulisan kreatif. Setelah bertegur sapa dan bercakap dengannya beliau menawarkan aku untuk menghadiri bengkel ini dan memandangkan aku sudah ada manuskrip elok juga aku hadir sekurang-kurangnya boleh menambah ilmu dan aku dapat memperbaiki manuskrip novel yang aku ada.
Suatu hari aku mendapat surat rasmi untuk menghadiri bengkel tersebut daripada DBP dan aku teliti senarai peserta khusus, cuma seorang daripada 18 peserta lain yang aku kenal iaitu Ahmad J. Husien. Bebarapa nama lain aku pernah mendengar tetapi tidak pernah kenal dan bertemu dengan mereka, seperti Hasan Baseri Budiman, Amelia Hashim dan Che Soo Ismail. Salah seorang daripada tiga orang pembentang kertas kerja adalah guru menulis ku Azizi Hj. Abdullah.
Maka pada 12 Disember 2008 yang lepas aku bertolak ke Bayview Beach Resort & Hotel di Batu Feringgi, Pulau Pinang. Aku sampai lewat sikit dan terus ke kaunter untuk dapatkan bilik. Aku diberitahu aku rakan sebilik aku adalah Osman Ayob yang kini bergelar Drs. Aku terkejut kerana namanya tidak ada dalam senarai tapi aku gembira kerana aku pernah bertemu dengan Drs. Osman Ayob semasa aku aktif dalam dunia penulisan kreatif di Seminar Penulis Utara di Batu Uban pada tahun 1987 dulu.


















AKU ADA DIBELAKANG TOK GURU MENULISKU YANG DISERBU OLEH PESERTA BENGKEL
Aku dapat banyak belajar daripada bengkel ini dan pastinya aku perlu meneliti kembali menuskrip novel yang aku ada dan memperbaikinya, Insya Allah aku yakin anak kelahiran sulung selepas melibatkan diri dalam dunia penulisan lebih 20 tahun lalu akan memberikan aku kepuasan dan meransang untuk terus menulis novel sepertimana Tok Guru Menulis aku Azizi Hj. Abdullah.
Memandangkan tempoh yang diberi oleh pihak DBP sehingga Mei 2009 untuk kami peserta bengkel menghasilkan karya maka aku berhasrat untuk menulis sebuah lagi novel. Isunya sudah bermain-main di kotak fikirku, jalan ceritanya sudah terbayang sedikit dan kita aku perlu duduk dan merangka plot ceritanya saja. Insya Allah aku yakin dapat menghasilkan manuskrip kedua untuk penilaian DBP Wilayah Utara.