Khamis, 26 Mac 2009

PENDAPAT

Sastera boleh membentuk peribadi

KEHIDUPAN terlalu moden kini menuntut anak-anak membekalkan diri mereka dengan berbagai kemahiran sains , Matematik, Teknologi, ICT dan lain-lain bagi menjamin mereka tidak tertinggal dibawa arus.
Lantas perlumbaan ke arah itu menyebabkan sastera Melayu dipinggirkan. Padahal matapelajaran sastera Melayu mempunyai peranan yang tersendiri dalam membentuk sahsiah juga peribadi khususnya untuk agenda pembangunan modal insan.
Matapelajaran ini di sekolah sekarang semakin malap, hampir tiada sambutan daripada pelajar.
Sebilangan guru pula hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran sahaja, tanpa memahami, merungkai dan menyebarluaskan falsafah di sebalik pelajaran ini. Matlamat kurikulum Kesusasteraan Melayu sekolah menengah adalah untuk melengkapkan anak-anak dengan ilmu sastera agar mereka dapat menghayati, menghargai, mencintai dan membanggakan sastera di alam pendidikan dan kerjaya memantapkan jatidiri, membentuk pribadi mulia.
Sebagai contoh , sastera yang merangkumi ilmu kemanusiaan dapat menyemai unsur-unsur kasih sesama manusia , unsur keharmonian dalam kehidupan , unsur tingkahlaku terpuji dsb.
Sebelum Sains , Teknologi dan ICT dicanang ke alam pendidikan kita dahulu, sastera memainkan peranan mencanai peribadi; seiring dengan ilmu agama dan moral.
Sajak, syair, gurindam, kias, seloka dan sebagainya telah lama membantu membentuk denyutan nadi kehidupan bangsa kita. Di zaman Rasulullah , baginda mempunyai "tukang syair" , Hassan bin Tsabit, menghasilkan syair yang membangunkan jiwa perjuangan masyarakat di masa itu.
Seterusnya di zaman kegemilangan Andalusia, Maulana Jalaludin Rumi membangunkan peribadi dan kerohanian dengan sajak kesufiannya yang dihayati dan dikagumi seantero dunia.
Begitu juga di alam nusantara, terdapat ramai tokoh sastera yang berjasa membentuk peribadi; Abdul Rauf Singkil, Hamzah Fansuri, Shamsudin Al-sumatrani , Amir Hamzah, Punggok, Syed Sheikh Al Hadi, Hamka, Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam....... Berapa kerat drp. anak-anak kita sekarang mengenali , menghayati dan mengambil contoh dan didikan tokoh-tokoh ini? Kemajuan teknologi telah menjadikan penyanyi, bintang film, VCD, dan segala yang berbentuk materialistik sebagai guru dalam kehidupan mereka.


HASNAN JAMALUDDIN
Pendapat ini di ambil dari MSTAR 26/3/2009

Isnin, 23 Mac 2009

PERTEMUAN DENGAN KAWAN LAMA

LAZIMNYA apabila pada setiap hari sabtu atau ahad aku akan ke kulim untuk membeli tembakau. Biasanya aku akan singgah di gerai Hj. Yusof yang aku panggil Pak Chop orang Bukit Teh. Gerai Pak Chop ini terletak di sebelah supermarket Yawata dulu.

Dulunya aku sering ke rumah Pak Chop pada sebelah malam untuk membeli gulai ayam. Pak Chop akan memasaknya malam untuk dijualnya pagi esok dan orang-orang bukit teh dan kampong aku akan ke rumahnya untuk beli nasi dan lauk ayam. Gulai ayamnya begitu sedap malah anak sulung aku Mohd Al-Zaim hampir setiap hari hendakkan gulai ayam Pak Chop sehinggakan suatu hari arwah emak aku pernah berkata kepada anak aku “payah-payah esok hang menikah dengan anak Pak Chop”.

Itu dulu tapi hari ini gulai ayam di gerai Pak Chop bukan lagi seenak dulu, biasa saja. Mungkin bahan masakannya sudah dikurangkan ataupun kini dia guna rempah biasa dan mungkin dulu rempah giling. Aku pun tak tahu dan tak pernah bertanyanya. Sekarang makanan kegemaran aku di gerai Pak Chop adalah mee bandung atau mee kauh, itu saja makanan aku jika aku singgah di gerainya.

Selepas itu aku akan ke kedai tembakau, dan kelmarin apabila aku ke kedai tembakau aku telah bertemu kawan lama yang pernah sama-sama bekerja di Franklin Porcelian, Kulim. Husien adalah supervisor bahagian dry ware manakala aku pula Junior Supervisor bahagian Deco.

Sesuatu yang menarik dalam pertemuan ini walaupun kami telah lama tak jumpa selepas aku berhenti daripada Franklin di sekitar pertengahan tahun 80an tapi dia masih ingat malah dia juga masih mengenali aku ketika aku muncul di TV3 dalam program Misteri Nusantara lebih kurang sebulan lepas. Lalu dia bertanya aku pasal Bukit Seraya dan bertanya soal keluarga masing-masing.

Sebenarnya banyak yang hendak kami bicarakan tapi memandangkan masa tidak mengizinkan maka kami berpisah dan aku terlupa untuk mengambil nombor telefonnya. Aku juga terlupa untuk merakam gambarnya untuk aku masukan dalam blog ini. Aku berharap agar Allah dapat memberikan kami kesempatan untuk bertemu dan berbual panjang kerana banyak perkara yang boleh dicakapkan sepanjang perpisahan itu. Aku juga berharap agar aku dapat merakam semua pertemuan dengan kawan-kawan lama untuk aku ceritakan dalam blog ini.

Sesungguhnya banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat kita ceduk daripada pengalaman kawan-kawan kita dan mereka juga dapat mengambil pengalaman dan pengajaran daripada pengalaman kita. Semuga pengalaman yang pernah kawan kita alami itu dapat dijadikan pengajaran dan panduan kita untuk menjalani kehidupan di maya pada yang penuh dengan cubaan dan dugaan ini.

Jumaat, 13 Mac 2009

BLOG WARISAN BORIA AKAN DILANCAR
PADA 18 Mac ini blog Warisan Boria yang dikendalikan oleh sahabat saya OMARA akan dilancarkan secara rasmi oleh Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.En. Siri Neng Buah pernah menjadi Pengarah di Pulua Pinang sautu waktu dulu.

Majlis perlancaran itu akan dibuat Auditorium P. Ramlee, Taman Budaya Negeri, KPWS, Lintang P. Ramlee, Pulau Pinang bermula jam 3.0 petang dan dijangka berakhir pada jam 6.00 petang.

Sesungguhnya sahabat saya ini OMARA perlu merasa bertuah kerana jarang-jarang blog mendapat perhatian pihak berkuasa apa lagi untuk dilancarkan.
Pada pengamatan saya secara jujur sahabat saya Sdr. OMARA perlu diberikan penghormatan dan penghargaan terhadap sumbangannya dibidang tersebut. Beliau bukan saja terlibat dalam sketsa boria, membina blog boria, membuat pengambaran boria untuk DBP malah sering mengubah dan menyusun rangkap karangan lagu-lagu boria dan dengan khabarnya beliau kini sedang menyiapkan buku berkenaan dengan boria.

Disarankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menganugerahkan pingat kebesaran kepada beliau sebagai tanda penghargaan malah tidak keterlaluan beliau perlu dinobatkan sebagai TOKOH BORIA memandangkan penyandang gelaran tersebut Pak Kan telah pulang kerahmatullah.

Saya yakin jika penghargaan dan penghormatan ini diberikan kepada beliau akan membuatkan beliau lebih bersemangat dalam usaha memertabatkan boria di negara ini khususnya di Pulau Pinang.
SYABAS OMARA SELAMAT MAJU JAYA