Selasa, 14 Januari 2014

HAJAT YANG TAK SAMPAI

SEBENTAR tadi selepas habis kerja mengadap laptop, dalam keletihan saya merenung meja tulis . Saya melihat susunan kertas dan buku rujukan yang saya gunakan, tiba-tiba saya terpandang buku “SEJARAH PERJUANGAN MELAYU” tulisan Ibrahim Mahmood, buku setebal 1011 mukasurat. Dah lama saya tak pegang buku itu kerana dah lama saya tak menulis bab politik khususnya yang berkiatan dengan perjuangan melayu.

Buku ini menjadi bahan rujukan penting saya ketika saya menjadi Pengarang/Pengurus Penerbitan Buletin UMNO Pulau Pinang yang di namakan “SUARA MUTIARA” , Buletin Pemuda UMNO Pulau Pinang “MINDA PEMUDA” dan buletin UMNO Bkit Mertajam “BULETIN BUKIT”. Buku ini juga menjadi rujukan saya ketika saya menulis article politik untuk akhbar mingguan politik seperti Era Baru, Mingguan Kota, Buletin Demokrasi, Buletin Utama, Ekslusif dan Majalah Editor Suria Janib dan lain-lain lagi.

Apabila terpandang buku itu saya ambil dan renung buku itu tanpa saya sedari airmata mengalir keluar dari kelopak mata saya. Saya terkilan hajat untuk bertemu dan memberikan anugerah besar kepada beliau tidak kesampaian.

Setelah saya membelinya terus daripada penerbit buku itu di Kuala Lumpur. Saya membaca, beliau telah menulis banyak mengenai perjuangan melayu, saya kagum. Beliau bukan saja penulis buku itu malah diantara mereka yang menandatangani Piagam Penubuhan UMNO di Kongres Melayu kedua di Istana Besar Johor pada 11 dan 12 Mei 1946. Ketika itu beliau mewakili Kesatuan Melayu Pulau Pinang.

Saya photostad cacatan mengenai pengarang buku ini dan berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ketika itu menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganugerahkan Datuk kepada beliau. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bersetuju dan meminta saya mencari dan memberitahu kepada beliau.

Berdasarkan maklumat buku itu beliau orang Tanjong Tokong dan ketika itu orang-orang di Tanjong Tokong dipindahkan, sebahagian besar telah pindah. Saya lalu ke Tanjong Tokong dan mencari pemimpin lama UMNO. Mereka membawa saya berjumpa dengan seorang pemimpin veteran Wanita UMNO di situ, saya dah lupa namanya. Saya berbual dan bertanyakan samada dia kenal atau tidak Ibrahim Mahmood. Alhamdulillah kebetulan dia kenal . Dia memberitahu saya yang Ibrahim Mahmood telah berpindah ke Telok Bahang, saya tanya alamat tapi dia tidak tahu. Dia minta saya bertanyakan orang Telok Bahang kawasan pertempatan orang-orang Tanjong Tokong yang di pindahkan.

Alhamdulillah walaupun susah dan payah, akhirnya saya berjumpa rumahnya tapi malang beliau tidak ada di rumah. Saya tidak beritahu tujuan saya kerana saya mahu dialah orang yang pertama tahu perkara ini, saya tinggalkan nombor telefon saya untuk dihubungi. Kebetulan rumah mereka belum ada telefon kerana petempatan baru talian telefon belum di sediakan.

Setelah menunggu agak lama beliau tidak menghubungi saya, lalu saya pergi sekali lagi pergi ke rumah beliau, perkara yang sama juga berlaku, beliau tidak ada di rumah. Menurut anaknya beliau sering berkunjung rumah anak-anaknya yang lain. Saya ulangi dua tiga kali, hajat saya tak kesampaian untuk bertemu dengan beliau.

Suatu hari ketika saya membuka akhbar harian terpandang berita yang mengatakan beliau meninggal dunia. Saya melihat gambar ramai pemimpin UMNO Pulau Pinang yang hadir termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketka itu menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO serta Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Menitis airmata saya, hajat saya untuk bertemu dan berbual dengan beliau dan memberikan anugerah Datuk tidak kesampaian. Lalu saya menghubungi Datuk Seri Dr.Ibrahim Saad bertanyakan macam mana dia boleh tahu yang Ibrahim Mahmood dah meninggal dan kenapa tak beritahu saya.

Dia memberitahu ada orang yang memberitahu beliau suruh beritahu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Dr. Ibrahim juga memberitahu yang dia pun tidak tahu dan tidak pernah berjumpa dengan Ibrahim Mahmood. Menurut Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, dia ingat saya tahu kerana dia memberikan tugasan untuk bertemu dengan beliau.


Ketika saya menulis cerita ini air mata saya terus mengalir keluar membasahi pipi
kedut saya. Saya teramat kecewa gagal berjumpa orang yang sehebat beliau. Saya juga sedih tak sempat memberikan anugerah Datuk yang memang telah dipersetujui oleh Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.