Selasa, 16 Mac 2010

HARAP HIJRAH BAWA PERUBAHAN

HAMPIR lima puluh tahun aku hidup dan terpaksa bergelumang dengan pelbagai masalah. Pelbagai masalah kehidupan tidak kira di segi perhubungan siratulrahim, kerjaya, agama dan pelbagai lagi. Apa saja yang aku buat serba tak kena dan menjadi. Ada saja masalah. Ada saja halangan yang boleh membantutkan usaha yang aku buat.

Disegi perhubungan siratulrahim, aku pelik sebagai aktivis masyarakat dan politik di daerah kelahiranku, aku melakukan pelbagai perkara dalam usaha membantu masyarakat. Aku tidak pernah mengambil kesempatan daripada usaha itu. Aku ingin melihat bangsaku berjaya. Namun selepas aku mengambil keputusan tidak lagi mahu aktif pelbagai kerenah masyarakat yang aku temui.

Apa yang menyakiti dan memedihkan hati dan jiwa aku, orang yang pernah aku bantu melalui projek ekonomi juga tidak senang kepada aku. Apa yang memelikkan aku aku tidak pernah meminta atau menerima walaupun sekupang hasil usaha itu baik daripada mereka mahupun daripada pihak lain yang terbabit. Inilah antara sikap dan budaya bangsaku yang memang tidak kusenangi.

Aku tak kisah walaupun hatiku sakit. Aku juga pelik dalam aku bergerak aktif adakalanya aku tidak bergerak langsung, bagaikan air yang pasang surut atau zaman sekarang seperti iklan "cipmore" sekejab ada dan sekejab tak ada. Ada saja masalah yang datang dan aku sendiri pun tak tahu dan mengerti.

Disegi kerjaya juga bermacam-macam kerja yang aku buat dari seorang pekerja kilang kemudian bekerja disektor awam, membawa ke dunia kewartawanan malah aku pernah menjawat jawatan Pegawai Perhubungan Awam disalah sebuah syarikat pemaju perumahan. Apa saja kerja yang aku buat ada saja halangan dan ada saja masalah. Aku gagal bertahan lama. Aku benar-benar tak faham.

Aku juga pernah menguruskan syarikat penerbitan yang memberikan khidmat menerbitkan buletin untuk UMNO Pulau Pinang ketika di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Buletin Pemuda UMNO Pulau Pinang dibawah Datuk Nordin Md. Noor dan Buletin UMNO Bukit Mertajam di bawah Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad. Semua usaha itu bukan saja gagal dikembangkan malah turut musnah ditengah jalan.

Apa yang berlaku menyebabkan keadaan diri dan keluarga berada dalam keadaan yang terhimpit oleh kesusahan. Sebelum ini apa yang berlaku dalam hidupku, aku melihat pada realiti dan keadaan semasa dan reda apa yang berlaku adalah disebabkan ketentuan Allah yang Azali. Aku langsung tidak melihat disudut lain.

Cuma beberapa bulan lepas timbul persoalan yang perlu aku cari jawapammya, seorang kawan dikampung berkata kepada aku, “Man aku hairan dengan hang! Hang seorang yang pandai dan hang juga boleh cakap orang putih dan tahu guna komputer... tapi aku tengok hang hidup susah. Aku rasa hang kena mandi air buyung dan bunga”. Kata-kata itu membuatkan aku tersentak dan mula mencari jawapan. Malah saorang lagi kawan berkata bukan itu saja, “Siapa pemimpin yang dia tak kenal. Aku pun tak tahu macam mana dia boleh jadi macam ni.”


Dalam keadaan hidup yang tertekan dan mencari jawapan, aku telah belajar membuat makjun daripada Kak Soyah (lihat http://bomoh20.blogspot.com/) dan berhasrat untuk membuat dan meletak dikedai-kedai. Ketika aku membuat persediaan itu pelbagai masalah yang datang dan mengagalkan usahaku dan sebagai ganti aku bercadang membuat tempeyak juga untuk diletak dikedai. Ketika aku giat membuatkan persediaan membuat tempeyek aku lihat usaha makjun itu boleh diteruskan.

Aku merasa cukup pelik! Aku termenung memikirkannya. Lalu aku mengadu kepada sahabatku OMARA yang ada kepandaian disegi perubatan tradisional. Barulah aku mendapat jawapannya, rumah tempat tinggal aku ada gangguan makhluk halus. Makhluk halus itu bukannya perbuatan kianat orang tetapi yang telah lama menetap di situ. Sahabatku itu telah membuat usahanya dan seorang lagi kawan meminta aku wirid sautu ayat sehari 100X. Alhamdulillah semuanya terjawab dengan jelas. Selepas itu hati dan jiwaku jadi tenang dan tenteram bukan saya memudahkan aku membuat kerja malah memudahkan aku untuk beribadat. Sebelum ini hati dan jiwaku sentiasa berserabut.

Aku reda dengan apa yang berlaku dan semua itu adalah ketentuan Ilahi yang harus aku dan keluarga jalani. Walaupun masalah itu telah selesai dan berjaya aku dan keluarga atasi namun setelah berbincang dengan keluarga, aku mengambil keputusan untuk berhijrah. Ini kerana bagi mengubah budaya hidup yang selama ini kami amalkan. Aku berharap dengan penghirahan ini akan membantu aku dan anak-anak isteriku membina hidup, sikap dan budaya baru dalam usaha kami merubah kehidupan kami yang sebelum ini tidak menjadi.

Cuba bayangkan apabila keputusan untuk berhijrah ini aku dan isteri khabarkan kepada anak-anak, kesemua mereka yang tinggal di rumah lama sejak dilahir merasa amat gembira. Aku tak tahu bagaimana tanggungan mereka selama ini, mungkin macam mana yang aku rasa.

Mujur juga beberapa tahun dahulu aku dan isteri telah membeli sebuah rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah tanpa punya niat untuk duduk. Rumah itu juga sejak beli hingga sekarang hanya ditinggal kosong. Rupa-rupanya Allah telah mengatur perjalanan hidup ini dengan begitu cantik.

Aku amat berharap dan berdoa agar penghijrahan yang akan aku dan keluarga lakukan pada 14 Mac 2010 akan membawa perubahan yang positif untuk kami sekeluarga. Aku sendiri akan membuat perubahan secara total dari makan gaji aku akan berniaga sepenuh masa disamping akan lebih serius dalam usaha-usaha penulisan. Aku juga berharap dan berdoa agar anak-anak aku akan lebih ceria dan dapat melakukan perubahan yang positif dalam usaha mengejar kejayaan hidup.

AKU YAKIN PENGHIJRAHAN INI AKAN MEMBUAHKAN HASIL YANG BAIK UNTUK AKU DAN KELUARGA DENGAN BANTUAN DAN PERTOLONGAN ALLAH AZAWAJALLA SETELAH KAMI MELALUI PERJALANAN HIDUP YANG AMAT MENYUKARKAN HIDUP TANPA KAMI KETAHUI PUNCA DAN SEBAB MUSEBABNYA.

BERSAMBUNG DENGAN CERITA EPISOD PERPINDAHAN

Penciptaan Drama