Sabtu, 13 November 2010

Publisiti Percuma Novel SHIT

HARI ini aku tidak ke mana-mana jadi tengahari aku ke masjid Padang Serai untuk tunaikan solat zohor. Aku sampai agak awal, selepas tunaikan solat sunat tahyatul masjid, aku menuju ke almari kitab dan buku sambil berniat beriktikaf. Aku membelet-belet tajuk kitab dan buku yang terdapat di dalam almari.

  Tiba-tiba aku ternampak Novel SHIT karangan Prof Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara. Lalu aku teringatkan peristiwa di mana aku telah terlibat dalam memberikan publisiti percuma sehinggakan novel itu mendapat permintaan yang cukup tinggi. Cetakan pertama pada bulan April 1999 dan cetakan kedua pada bulan Mei 1999. Aku rasa inilah novel paling laris dan paling mendapat sambutan yang cukup hebat.

  Aku mendapat tahu penerbitan novel ini daripada bos tempat kerja, Harun Din. Ketika itu aku bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Aseania Development Sdn. Bhd., syarikat milik YB. Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir dan keluarga. Sebelum bertugas di Aseania Harun Din adalah tenaga pengajar di USM Pulau Pinang. Apabila bosnya Dr. Mansor Osman kini Datuk dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tinggalkan USM untuk menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Harun Din juga keluar dan bekerja di Aseania Development Sdn. Bhd.

  Harun Din ditugaskan membantu General Manager Hj. Ishak Kamarun. Kerja-kerja berkenaan syarikat bos aku adalah Hj. Ishak Kamarun dan Harun Din dan kerja-kerja melibatkan politik sudah semestinya YB. Senator Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir. Walaupun aku hanya pegawai peringkat rendah namun pergualan aku dengan bos cukup akrap bagaikan kawan ini mungkin kerana hubungan baik aku dengan big bos syarikat iaitu YB. Senator Datuk Musa  Sheikh Fadzir

  Suatu hari Harun Din mengajak aku ke biliknya dan memberitahu aku yang Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad yang juga kawan beliau semasa bertugas di USM dulu ada menghasilkan novel baru yang menarik bertajuk SHIT. Aku lalu bertanya intipatinya dan akhirnya aku meminta untuk meminjam novel itu. 

  Selepas mendapatkan novel itu ku berjalan keluar pejabat Harun Din, sebaik saja aku keluar aku disapa dan diminta oleh Linda Setiausaha Harun Din dan Yati Setiausaha Hj. Ishak Kamarun untuk melihat novel itu. Sebelum aku sampai ke bilik aku, aku terpaksa melalui jabatan pemasaran dan jualan di situ sekali lagi aku ditahan. Memang telah menjadi kelaziman kakitangan di pejabat itu, apa saja yang aku bawa pasti mereka ingin melihatnya. Aku memberikan kepada mereka untuk melihat dan menceritakan intipati novel itu sepertimana yang diceritakan oleh bos aku, Harun Din.

  Akhirnya aku dapat meloloskan diri untuk masuk bilik kerja aku. Sebaik saja aku duduk sambil membelek-belek novel itu tiba-tiba masuk Ridzuan Bakar orang kuat Datuk Omar Fauzhar Managing Director di situ. Datuk Omar Fauzhar adalah anak saudara YB. Senator Datuk Musa merupakan Ketua UMNO Bayan Baru masa itu, kini beliau Ketua UMNO Bukit Gelugor. Ridzuan Bakar membelek-belek dan bertanyakan aku intipati ceritanya dan dia lalu memberitahu aku dia nak bawa novel itu dekat YB. Senator Datuk Musa dan Datuk Omar, aku terkedu melihat dia beredar.

  Selepas beberapa lama beliau pergi , YB. Senator Datuk Musa telah memanggil aku ke biliknya. YB. Senator Datuk Musa bertanyakan aku tentang intipati cerita novel itu dan aku ceritakan sepertimana yang diceritakakan oleh Harun Din. Aku beritahu YB. Senator Datuk Musa , aku pun tak tahu kerana tidak sempat membacanya lagi. Lalu YB. Senator Datuk Musa mengarahkan aku memanggil satu sidang akhbar di pejabat dengan menjemput semua media arus perdana termasuk stesen TV. Aku juga diarah juga untuk menjemput pemimpin-pemimpin politik UMNO Bukit Mertajam untuk hadir.

  Sebelum melaksanakan tugas itu aku membuat panggilan dekat bos aku, Harun Din memberitahu apa yang berlaku. Aku bimbang juga nanti dia akan marahkan aku, tapi katanya bagus nanti novel SHIT akan dapat publisiti percuma. Pada sidang media itu ramailah pemimpin-pemimpin politik UMNO Bukit Mertajam dan Bayan Baru yang hadir dan mengutuk novel itu di hadapan pertugas media. Pada sebelah malamnya keluar berita di TV dan keesokkannya hampir semua media memuatkan berita sedang media itu di muka depan.

  Sebaik saja keluar berita itu begitu ramai yang ingin mendapatkannya. Oleh kerana ramai kawan-kawan aku tahu sidang media itu diadakan di tempat kerja aku maka ramailah yang menghubungi aku untuk mendapatkan novel itu malah ramai yang tidak kira harganya lagi. Aku pergi berjumpa bos aku Harun Din dan menceritakan apa yang berlaku, aku mahu dia menghubungi Prof. Emeritus Dato’ Shanon Ahmad untuk mendapatkan novel tersebut. Menurut Pof. Emeritus Shahnon Ahmad novel itu telah pun habis dijual dan sedang dalam proses ulang cetak.

  Aku begitu yakin novel SHIT karangan Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara ini telah mencipta rekod paling cepat diulang cetak dan paling laris dipasaran disebabkan mendapat publisiti percuba yang aku aturkan. Rupanya betul seperti kata bos aku, Harun Din. Novel siapakah pula yang dapat mengatasi kejayaan novel SHIT ini di masa depan?

Tiada ulasan:

JUMPA KAWAN LAMA DATUK BAKAR

AGAK lama saya tidak menemui  Datuk Abu Bakar Abdullah  kerana beliau banyak menetap di Kuala Lumpur. Cuma baru-baru ini  ketika beliau bal...