Jumaat, 29 Ogos 2008

UMUM

SURAT TERBUKA UNTUK DSAI
TAHNIAH dan syukur alhamdulillah di atas kemenangan besar DSAI dengan memperolihi majoriti lebih 15,000 undi dalam pilhanraya kecil baru lepas mengalahkan Datuk Arif Shah Omar Shah. Kini DSAI dan kembali menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh setelah dipaksa melepaskan jawatan tersebut dengan dilemparkan pelbagai tuduhan pada tahun 1998 dulu. Selepas 10 tahun DSAI dipaksa meninggalkan khidmat kepada rakyat dan orang Permatang Pauh kini DSAI kembali. Kembalinya DSAI kali ini membawa agenda yang lebih besar iaitu untuk membawa politik dan negara ke dimensi baru.

Kemenangan besar Pakatan Rakyat khususnya DSAI dalam pilihanraya kecil ini adalah manifestasi keinginan dan kemahuan rakyat untuk berubah. Buat pertama kalinya saya melihat kehendak rakyat tidak kira kaum samada Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum sanggup membajiri ceramah politik Pakatan Rakyat khususnya yang disertai oleh DSAI. Mereka sanggup berlantaikan tanah yang becak dan berbumbungkan hujan yang renyai-renyai semata-mata ingin mendengar ucapan terakhir dalam siri kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh di Jalan Baru baru-baru ini.

Saya terpegun, memang saya pernah melihat situasi begini yang disertai oleh rata-rata orang melayu di ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PAS. Saya jarang melihat gelombang perubahan dan kebangkitan rakyat begini. Dalam pilihanraya umum Mac lepas suasana ini sudah mula kelihatan dan kini dengan pembabitan DSAI secara langsung telah menimbulkan keghairahan yang lebih di kalangan rakyat.

Saya yakin yang DSAI pasti mampu menterjemahkan segala apa yang diperkatakan selama ini. Saya secara peribadi kenal akan sikap dan watak DSAI. Pada tahun 1982 apabila DSAI memasuki UMNO dan dicalonkan untuk bertanding di Permatang Pauh. Kebetulan saya juga menyertai UMNO dan diterima bertugas sebagai anggota KEMAS.

Bertapa gembiranya hati saya apabila tugas pertama yang saya pikul adalah untuk turun ke Parlimen Permatang Pauh membantu DSAI yang pertama kali bertanding. Memang DSAI telah menjadi idola saya sejak memimpin ABIM lagi. Jadi tugasan ini memang bertepatan dengan kehendak dan keinginan hati saya.

Tapi sayang seribu kali sayang niat hati saya terhalang kerana Ketua UMNO Machang Bubok ketika itu Tuan Hj. Haron Lebai Awang (Allahyarham)dan Bendahari UMNO Machang Bubok, Tuan Hj. Ibrahim Mohamad (Allahyarham) telah meminta jasa baik Ketua UMNO Bukit Mertajam ketika itu Datuk Ishak Abdul Rahman (juga Allahyarham) agar Pengarah KEMAS Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua UMNO Bukit Mertajam Hj. Sharif Mahmud agar tidak melepaskan saya ke Permatang Pauh kerana mereka juga inginkan khidmat saya. Maka terlepaslah peluang saya untuk membantu jentera kempen DSAI.

Selepas pilihanraya 1982 DSAI telah dilantik sebagai Timbalan Menteri dan seterusnya Ketua UMNO Permatang Pauh. Sementara saya berada dan bergerak aktif di Parlimen Bukit Mertajam. Saya mengikut ke mana saja Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam Cikgu Ismail Sudin. Ketika inilah saya mula mengenali DSAI dan juga tokoh-tokoh politik Pulau Pinang waktu itu seperti Datuk Ahmad Saad, Nordin Md.Noor, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Salim Al-Bari, Datuk Latif Mirasa yang juga Cikgu saya ketika belajar di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam malah ramai lagi.

Ketika krisis UMNO pada tahun 1988 saya mula belajar menulis artikel politik. Artikel politik saya yang pertama bertajuk “Surat Terbuka Untuk Tunku Abdul Rahman” dan telah tersiar dalam akhbar Mingguan Kota. Surat terbuka itu telah mengundang polimik politik di antara saya dengan beberapa penulis lain yang menyokong kuat Tunku Abdul Rahman.

Semasa saya ghairah berpolimik seorang kawan saya yang mengikuti polimik itu telah mengingatkan saya agar jangan ghairah sangat takut-takut kalau Tunku Abdul Rahman saman. Saya sedikit kecut dan menceritakan hal ini kepada Cikgu Ismail Sudin. Tanpa pengetahuan saya Cikgu Ismail Sudin telah memberitahu Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ketika itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam dan Setiausaha UMNO Pulau Pinang yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketika saya mengahadiri satu ceramah politik anjuran Pemuda UMNO Bukit Mertajam, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dalam ucapannya telah menegaskan jangan takut untuk berjuang mempertahankan UMNO tidak kira apa juga bentuk samada berceramah, memasang poster malah kalau ada kepandaian menulis, tulislah… jangan takut dia akan berada di belakang.

Mendengarkan ucapan itu saya tersentak dan saya rasa ungkapan itu ditujukan kepada saya. Semasa jamuan Cikgu Ismail Sudin memanggil saya dan memberitahu saya yang Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ingin berjumpa saya. Dalam pertemuan itu Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah memberikan jaminan akan berada di belakang saya selagi saya berjuang untuk UMNO dan sekiranya dalam polimik itu saya memerlukan bahan dia minta saya datang ke pejabatnya.

Saya lebih giat menulis dan akhirnya Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah memberikan peluang kepada saya untuk mengasah dan mengembangkan bakat penulisan politik khususnya, dengan menerbitkan buletin UMNO Pulau Pinang yang kami namakan “Suara Mutiara”. Saya usahakan buletin ini bersama Anuar Asmadi, Ketua Satu 2PNP yang juga pemberita sukan Berita Harian/Harian Metro.

Penglibatan ini menyebabkan saya bertambah rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO Pulau Pinang dan mula mengenali DSAI secara lebih dekat. Lanjutan daripada itu Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzil ketika itu Timbalan Ketua UMNO Bukit Mertajam telah menawarkan saya jawatan Pegawai Perhubungan Awam di Aseania Development Sdn. Bhd.

Saya bertambah aktif bergerak dalam UMNO. Dan ketika DSAI membentuk Team Wawasan saya bersama Naib Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam Md. Noor Ahmad kini Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Wahid Osman kini Ketua Pemuda UMNO Batu Kawan dan Jamaludin sudah lama tidak aktif dalam UMNO ditugaskan pergi berjumpa dengan para perwakilian di seluruh negeri Perak. Kami terpaksa menjelajah seluruh negeri Perak dalam usaha merais sokongan untuk DSAI dan Datuk Seri Dr.Ibrahim Saad yang bertanding sebagai anggota MKT UMNO.

Saya terus aktif dan menimba pelbagai pengalaman pahit maung dalam politik sehinggalah peristiwa hitam 2 September 1998 di mana DSAI telah disingkir dengan cara paling jijik dalam sejarah politik negara yang dipolopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum penyingkiran itu Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam ketika itu Abdul Hamid Ahmad (allahyarham) telah menerima panggilan daripada Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Dr. Rahim Ghouse yang mengatakan kedudukan DSAI dalam kerajaan telah genting dan beliau meminta semua Pemuda UMNO bahagian di Pulau Pinang turun ke Kuala Lumpur.

Saya masuk ke bilik Datuk Musa untuk meminta kebenaran bertolak ke Kuala Lumpur. Masih terbayang di ruang mata saya bagaimana Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir menangis hingga keluar air hingus mengenangkan perbuatan pemimpin tertinggi kepada DSAI. Pada waktu itu saya masih tabah dan tidak setitik airmata saya yang menitis. Airmata saya hanya keluar selepas DSAI ditangkap dan kemudian heboh beliau akan diracun. Ketika itulah airmata saya menitis dan pada saat itulah saya berazam tidak lagi akan membantu UMNO yang di pimpin oleh Tun Dr. Mahathir.

Memandangkan ramai jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian mempunyai pelbagai tugas maka proses untuk mengumpul dan bergerak mengambil masa. Kami berkumpul untuk bergerak di sebelah petang dan sebelum bertolak kami menerima panggilan telefon sekali lagi daripada Dr. Rahim Ghouse dan memberitahu kami DSAI telah disingkir.

Kami bertekad untuk tetap ke Kuala Lumpur dan ketika kami sampai di simpang depan menuju ke Sri Perdana jalan telah di tutup. Ribuan manusia berada di situ. Kami menghubungi Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan beliau meminta kami masuk melalui jalan belakang. Kami tidak begitu mahir dan teraba-raba mencari jalan, entah apa sebabnya satu kereta telah menahan kami dan bertanyakan tujuan kami. Kami memberitahu beliau yang tidak kami kenali telah membawa kami hingga ke simpang jalan belakang menuju ke Sri Perdana.

Apabila kami sampai ke jalan belakang terdapat beberapa orang polis berkawal di situ tetapi mereka tidak menghalang atau bertanyakan kami. Saya merasakan kami akan sampai tanpa sebarang masalah lagi. Rupa-rupanya sangkaan kami meleset, apabila sampai ke lencongan menuju rumah DSAI kami telah ditahan dihalang untuk pergi ke rumah DSAI. Puas kami merayu tapi mereka tetap tidak membenarkan kami masuk.

Sekali lagi kami menghubungi Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, beliau menyuruh kami pergi berhadapan simpang menuju ke Sri Perdana dan naik melalui belukar berbukit, Apabila kami sampai ke situ terdapat beberapa orang anggota polis berkawal jalan menuju ke Sri Perdana, kami menemui mereka dan memberitahu tujuan kami. Mereka meminta kami tunggu di situ sehingga mereka beredar dan sesiapa yang memakai baju putih diminta buang semasa mendaki bukit itu.

Kami sampai betul-betul di rumah pengawal sebelum memasuki rumah DSAI, sekali lagi kami terpaksa merayu dan akhirnya kami dibenarkan masuk dengan syarat semua kad pengenalan kami tinggalkan di bilik pengawal. Kami terpaksa akur asalkan kami dapat masuk. Rombongan kami seramai 13 orang memasuki perkarangan rumah DSAI lebih kurang jam 2.00 pagi. Tanpa kami sedari rupanya ada orang yang mengekori kami dan kebetulan saya berada di belakang tiba-tiba Rani abang DSAI berada di luar melihat rombongan kami telah memanggil saya. Di belakang saya terdapat seorang yang tidak kami kenali. Rani bertanya saya samada orang itu ahli rombongan kami. Selepas saya memberitahu tidak, beliau lalu meminta orang itu untuk keluar.

DSAI dikatakan berada di tingkat atas berehat dan kami tidak mahu menganggu dan berada berbual bersama teman-teman seperjuangan yang lain. Semasa berada dalam rumah DSAI yang mana bekalan letrik telah di potong pelbagai cerita yang kami dengar mengenai rancangan jahat Tun Dr. Mahathir. Saya benar-benar kecewa dengan pemimpin tertinggi UMNO yang sanggup lakukan apa saja asalkan kuasa yang ada ditangan tidak terlepas walaupun kepada rakan mereka dalam UMNO.

Semenjak malam itu saya mula tawar hati dengan UMNO kerana mereka bukan lagi memperjuangan kepentingan rakyat, bangsa dan negara tetapi mereka berjuang untuk kepentingan diri, keluarga dan suku-sakat saja. Sedangkan ahli biasa di bawah yang langsung tidak pernah mendapat apa-apa begitu setia menyokong dan mendokong. Ahli UMNO hanya dijadikan alat untuk mencapai tujuan mereka. Dan selepas subuh kami keluar dari rumah DSAI untuk balik ke Bukit Mertajam.

Selepas itulah bermulanya era reformasi. Ketika gelombang reformasi melutus di Kuala Lumpur saya hanya berada di Bukit Mertajam dan mengikuti perkembangan itu dari jauh. Ini kerana saya masih bekerja dengan syarikat milik pemimpin UMNO. Namun saya tetap menghadiri setiap ceramah yang diadakan di Seberang Perai hingga melewati Kulim dan Padang Serai.

Kehadiran saya dalam setiap ceramah di kawasan Parlimen Bukit Mertajam dan Permatang Pauh tetap diketahui oleh Datuk Musa. Ini kerana SB-SB telah membuat laporan mengenai kehadiran saya di tempat-tempat ceramah tersebut. Saya tahu perkara ini kerana pada keesokannya apabila bertemu Datuk Musa di pejabat dia akan bertanyakan saya soal kehadiran saya. Saya tidak pernah berbohong dan mengakui yang saya memang hadir. Dan saya tabik bos saya ini walaupun beliau masih pemimpin UMNO tetapi tidak pernah menghalang saya untuk mengikuti ceramah anjuran pembangkang.

Sautu hari pegawai atasan saya Haron Din, bekas tenaga kerja USM di Unit Kajian Dasar bersama Dr. Mansor Othman yang pernah menjadi Setiausaha Politik DSAI telah memberitahu saya yang Datuk Prof. Emiritus Shanon Ahmad telah menulis sebuah novel sitara bertajuk ‘Shit’. Saya meminta untuk membacanya. Dalam perjalanan balik ke bilik kerja saya telah ditahan oleh beberapa orang teman sekerja dan mereka melihat novel tersebut.

Apabila saya masuk ke bilik dan belum sempat membaca dan baru membelek-belek novel tersebut tiba-tiba masuk Ridzuan ketika itu Ketua Penerangan UMNO Bayan Baru yang di ketuai oleh Datuk Omar Fauzar anak saudara Datuk Musa yang juga Pengarah Urusan Aseania Development. Ridzuan telah meminta dan melihat lalu membawa novel itu kepada Datuk Musa dan Datuk Omar.

Selepas itu Datuk Musa memanggil saya ke pejabatnya dan disertai oleh Datuk Omar dan Ridzuan. Selepas berbincang saya telah diarah oleh majikan saya menjemput semua wartawan akhbar dan TV untuk membuat kenyataan mengenai novel Pak Shanon. Saya yang makan gaji terpaksa akur dengan arahan itu.

Habis melakukan tugas itu saya pergi mendapatkan Haron Din dan menceritakan apa yang berlaku. Saya bimbang Haron Din akan marahkan saya kerana memberikan naskah novel shit kepada Ridzuan. Tapi Harun Din berkata baguslah Pak Shanon akan memdapat publisiti percuma. Memang benar selepas berita ini keluar di TV dan akhbar permintaan novel ini begitu tinggi malah ada yang ingin membelinya dengan harga yang lebih tinggi dari harga sebenar. Saya yakin novel shit telah memecahkan rekod jualan novel di negara ini ketika itu.

Saya terus bekerja dengan Datuk Musa dan Datuk Omar lebih kurang lapan bulan selepas gerakan reformasi meletus. Akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti dan mencari kerja lain disamping menulis untuk majalah Editor Suria Janib dan Eksklusif. Tapi malangnya kedua-dua penerbitan itu terpaksa di berhentikan. majalah Editor Suria Janib terpaksa berhenti selepas pihak berkuasa merampas beberapa kali majalah tersebut. Sementara akhbar Eksklusif pula permit penerbitan mereka ditarik balik.

Sejak itu pelbagai kerja lain yang saya lakukan untuk menyara kehidupan keluarga. Walaupun hidup susah perjuangan akan tetap saya teruskan. Kini saya telah membina sepuluh buah blog. Blog BICARA UMMAH adalah kesinambungan perjuangan saya dan Insya Allah dalam waktu yang terdekat ini saya akan bina blog WARTAWAN RAKYAT. Blog ini akan membicarakan kesusahan dan kesengsaraan hidup rakyat dalam negara yang didakwa makmur oleh para pemimpin negara.

Alhamdulillah selepas disingkir pada tahun 1998 kini pada 26 Ogos 2008 DSAI kembali menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan bakal memasuki parlimen dan membawa harapan baru rakyat Malaysia. Saya yakin pada 16 September 2008 akan mencatit sejarah di mana kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO lebih 50 tahun akan tersungkur.

Keyakinan ini berdasarkan apa saya saya tahu dan kenal DSAI yang memang seorang yang bijak mengatur strateji. Saya doakan agar DSAI dapat merealisasikan impian DSAI dan harapan rakyat Malaysia yang inginkan kerajaan yang bersih daripada gejala rasuah dan kepentingan diri dan berjiwa rakyat.

Apabila DSAI berada dipuncak kekuasaan nanti, saya mohon agar DSAI dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dengan sebaik mungkin untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Dan saya juga berharap agar DSAI tidak melupakan para penjuang-perjuang reformasi di peringkat awal. Saya lihat ramai diantara mereka sudah tidak kelihatan selepas DSAI keluar dari penjara.

Akhirkata Tahniah sekali lagi di atas kejayaan ini semoga 16 September 2008 ini menjadi realiti yang ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini yang ingin melihat perubahan ‘total’ pemimpin dan perlaksanaan dasar yang memberikan kebaikan kepada rakyat. Sesungguhnya rakyat negara ini sudah jelak dengan permainan politik kotor yang lagsung tidak mempunyai batas dan tatasusila dan kemanusiaan. Rakyat juga sudak muak dengan politik yang mementingkan kedudukan dan kepentingan diri dan kelompok.

Saya doakan agar DSAI dapat membawa arah tuju baru politik negara ini. Semoga DSAI BERJAYA ke Putrajaya dalam waktu yang terdekat ini.

Tiada ulasan:

JUMPA KAWAN LAMA DATUK BAKAR

AGAK lama saya tidak menemui  Datuk Abu Bakar Abdullah  kerana beliau banyak menetap di Kuala Lumpur. Cuma baru-baru ini  ketika beliau bal...