Khamis, 3 November 2022

ZAHID DI SERANG

 




 ZAHID  minum petang di atas beranda rumah bersama ibunya, Mak Jah. Zahid memberitahu ibunya dia tak tahu apa yang hendak dibuat, dia tidak minat bekerja di kilang.  Dia lebih suka dan berminat bekerja dengan masyarakat dan menulis. Namun peluang itu tidak pernah ada.

Cuma kerja masyarakat yang dapat dibuat hanyalah  memimpin persatuan belia dan  tidak mendapat gaji. Begitu juga kerja menulis sekadar menulis cerpen dan puisi yang tidak mendapat bayaran yang mampu menyara hidup.

Untuk menulis novel pula memerlukan banyak masa malah kadang kala pendapatannya tidak setimpal dengan masa, tenaga dan fikiran yang tercurah.

“Zahid bersabar terus berusaha dan berdoa kerana segala qada dan qadar Allah kepada manusia hanya akan tertolak  dengan doa. Berdoalah banyak-banyak disamping terus berusaha dan jangan berputus asa.”  nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya.

“Kerja yang dilakukan sekarang perlu dibuat bagi kelangsungan hidup kita. Kalau tidak bekerja macam mana kita nak makan? Jika tidak ada pendapatan bagaimana ahli persatuan hendak menghormati Zahid sebagai pemimpin? Jadi bagaimana Zahid hendak membeli buku, majalah, akhbar dan sebagainya sebagai alat bantu kerja penulisan.” kata  ibunya lagi sambil merenung wajah anak lelaki kesayangannya itu.

Zahid mengakui apa yang ibunya cakap dan merenung wajah tua ibunya yang memang mengharapkan pendapatan dia untuk terus hidup. Dia sedar itu!.Zahid termenung panjang.

 

“Mak jangan bimbang, Zahid tidak akan mengabaikan tanggungjawab Zahid mencari rezeki untuk kita walaupun jiwa Zahid sendiri kadang-kadang  tertekan dan memberontak” ujar Zahir mohon pengertian ibunya.

“Mak percaya dan Mak yakin akan keupayaan Zahid.  Walaupun Zahid anak bungsu tapi sikap Zahid lebih daripada anak bongsu.” balas ibunya.

“Assalamualaikum”

“Walaikumsalam” jawab Zahid menyambut salam abangnya yang baru sampai. Zahid sendiri tidak sedar  kehadiran  abangnya. Bunyi motosikal yang bukan perlahan tidak didengarinya. Zahid tengelam dalam mainan perasaannya sendiri.

“Naiklah Zahir... duduk,  mak masuk ambil minuman.” kata ibunya sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

“Zahid,  apa yang dimenungkan tu?” tanya abangnya Zahir.

“Tak ada apa abang... saja berbual kosong dengan Mak sambil minum petang.” jawab Zahid pendek.

Mak Jah  datang membawa  minuman dan berikan kepada Zahir sambil merenung wajah kedua-dua anaknya itu. Kedua-dua mereka jarak usia memang agak jauh hampir 10 tahun.  Mereka berdua sering tidak sependapat dan sekata dalam banyak perkara. Mak Jah sendiri hairan mengapa mereka berdua beradik tidak boleh bersemuka.

“Aku dengar kau asyik sangat dengan persatuan belia malah kadang-kadang kerja pun kau tak pergi, betul ke?” soal Zahir.

Zahid tahu abangnya mendapat cerita daripada jiran sebelah rumah, adik beradik mereka juga. Zahid hairan apa yang membuatkan  mereka  tidak senang dengannya. Zahid tidak tahu!  Mengapa jirannya itu jadi begitu. Ada saja perkara yang negatif pada pandangan mereka yang diadukan kepada abangnya.

Zahid hairan! Zahid pernah melancarkan projek  pemulihan tanah rang di kampung melibatkan golongan belia dan anak jirannya sendiri mengusahakan ladang pisang sebanyak tiga ekar. Berjaya dan kini anaknya tidak buat kerja lain melainkan menguruskan ladang pisang itu.

Zahid tidak pernah minta apa-apa malah sesikat pisang pun tidak pernah diberikan kepada Zahid sebagai tanda terima kasih. Namun Zahid tidak pernah persoalkan semua itu,  apa yang dia buat ikhlas. Dia menggunakan tenaga, fikiran dan kedudukannya sebagai pengerusi persatuan belia adalah untuk membantu ahli-ahlinya.

Zahid ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap kerja pertanian ini sebagai kerja yang tidak menguntungkan. Dia ingin menanam di minda ahli belia pertanian adalah satu perniagaan selaras dengan kehendak kerajaan.

“Kenapa  bang? Saya ambil cuti kerana ada program belia yang saya buat, tak kan saya tidak ada pula projek itu dilancar atau dilaksana.” Zahid menjawab sambil melihat ibunya yang termenung.

“Kerja persatuan tak dapat duit malah menghabiskan duit lagi adalah. Kau sanggup pula ambil cuti dan buat kerja yang tak dapat duit. Kalau kau tidak ada makan, kau ingat ahli belia kau akan membantu?” soal abangnya.

“Abang itu minat saya... abang. Saya memberi khidmat berdasarkan ilmu yang saya ada dan saya tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Samalah juga kita lihat hobi sesaorang misalnya memancing kadang-kadang belanja, masa dan tenaga yang dihabiskan tidak berbaloi lebih baik dia membeli saja.” jawab Zahid panjang lebar.

“Biarkanlah dekat dia Zahir, itu minat dia. Lagi pun dia tidak menyusahkan sesiapa termasuk kau malah banyak membantu masyarakat belia di kampung ini.” ibu Zahid membela.

“Mak macam tu la kalau saya tegur Zahid pasti Mak akan bela dia, sebab tu dia jadi lemak tak dengar cakap.” Zahir menyerang ibunya.

“Mak bukan membela adik kau tu. Mak duduk dengan dia dan Mak tahu apa yang dia buat. Bagi Mak itu sebahagian kerja kebajikan dia. Kalau dia hendak bagi duit kepada belia dan masyarakat dia pun susah jadi dia bagilah tenaga dan fikiran dia. Kau sendiri dapat lihat projek tanah rang yang di tanah sawah yang terbiar berapa ramai belia yang dapat cari makan.” jelas ibunya.

“Dia dapat apa?” soal Zahir.

“Dia dapat pahala kebajikan. Dia buat tanpa mengharapkan apa-apa daripada mereka. Kalau dia nak turut serta dalam projek itu kita tak ada tanah sawah. Hanya tapak rumah sekangkang kera ni saja milik kita.” ibunya terus mempertahankan tindakan Zahid.

“Abang tak payah risau, saya dah pun tak pegang apa-apa  jawatan dalam persatuan belia tu.” Zahid malas bertekak dengan abangnya dan bangun berlalu masuk dalam rumah. Zahir memandang adiknya dengan perasaan tidak senang sambil menyambung kata.

“Emak tengok... emak kata dia buat jasa dan kebajikan kepada golongan belia tapi apa jadi sekarang. Dia mereka tendang macam tu saja keluar dari kepimpinan persatuan.”  kata Zahir.

“Mak dia dah besar panjang dan dah pun patut  berkahwin. Kalau banyak masa, tenaga  dan wang ringit  dia habiskan berpersatuan dan menulis yang tidak memberikan sebarang pulangan macam mana dia nak kahwin nanti. Belanja perkahwinan sekarang bukannya murah.” Zahir menyambung dan terus mempertahankan pendiriannya dengan terus menyerang Zahid.

“Zahir rezeki, jodoh ajal dan maut ketentuan Allah. Bila tiba masanya Allah akan lorong dan permudahkan urusan itu. Kita tidak payah fikir soal itu dan kalau dia rasa dah sampai masanya dia hendak kahwin dia pasti akan usahakan untuk dapatkan belanja perkahwinan. Dia pun tahu Mak tak dapat bantu dia, selama ini pun Mak menumpang rezeki dia, Zahir.” ujar ibunya.

Zahir hilang kata bicara kerana setiap apa yang dia perkatakan mengenai Zahid mendapat pembelaan ibunya. Zahir kecewa dan turun dari beranda dengan muka yang masam mencuka mendapatkan motosikalnya dan berlalu.

Ibunya hanya memandang Zahir berlalu dan mengeleng-gelengkan kepalanya.

 

MY YOUTUBE CHANNEL
"BUNGA CINTA DI KALA SENJA"



Tiada ulasan: